About Me
Saya Nurul Najah. Saya merupakan guru pelatih tahun keempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGKBA), Kuala Lumpur. Bahasa Inggeris merupakan subjek major bagi program yang saya duduki iaitu Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP). Sebagai guru pelatih di IPGKBA, saya telah melengkapkan pelbagai program yang diwajibkan untuk pendedahan pengalaman guru sebenar. Contohnya, Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS), di mana guru pelatih akan dihantar ke Sekolah Rendah seluruh Malaysia. Program PBS ini telah saya selesaikan untuk mendapatkan pengalaman sebenar tentang pengurusan bilik darjah, pengurusan pentadbiran, Pentaksiran Bilik Darjah dan pelbagai ilmu dan kemahiran berkaitan profesi seorang guru. Program PBS ini telah dijalankan sebanyak tiga kali pada 3 semester yang berbeza. Bukan itu sahaja, saya juga telah melengkapkan Praktikum Fasa 1 selama tiga bulan. Sepanjang tempoh Praktikum Fasa 1, saya telah mempelajari pelbagai ilmu dan kemahiran keguruan. Contohnya, saya meneliti pelbagai teknik pengurusan bilik darjah yang berkesan, menyusun Rancangan Pengajaran Harian (Lesson Plan) dengan sistematik, mengetahui teknik pengajaran yang efektif di dalam kelas yang inklusif, mengajar murid-murid mengikut minat dan gaya pengajaran yang mereka selesa dan banyak lagi. Sebagai seorang guru pelatih, Praktikum Fasa 1 ini merupakan pengalaman berharga untuk saya kerana saya dapat melengkapkan diri dengan 1001 kemahiran keguruan. Pengalaman ini juga dapat memberikan saya pendedahan yang lebih mendalam tentang skop kerja seorang guru di alam perguruan yang sebenar agar saya dapat menjadi guru yang kompeten dan holistik.
Teaching Method(s)
Teknik pengajaran yang telah saya pelajari secara teori dan telah saya laksanakan sepanjang menjadi guru pelatih antaranya adalah ‘fun and meaningful learning’. Saya gemar membawa bahan bantu mengajar (BBM) yang menarik dan dapat membantu murid-murid belajar dengan lebih berkesan. Apabila murid-murid belajar di dalam persekitaran yang seronok, mereka dapat memahami sesuatu konsep dengan lebih baik. Bahan bantu mengajar yang menarik sering saya cipta menggunakan bahan fisikal, bahan terpakai dan juga secara dalam talian.